Saturday, January 9, 2010

GLOBAL OUTREACH

1. Program Global Outreach pada masa ini merupakan program yang sangat popular di kalangan aktiviti mahasiswa. Saya sendiri sudah terlibat 3 kali dengan program Global Outreach ini dan 3 kali keluar negara bukan menggunakan peruntukan program Global Outreach. Ramai yang masih tidak tahu bagaimana mahu mendapatkan peruntukan Global Outreach kerana pada pendapat saya memang agak mengelirukan pun dari segi modus operandi pentadbirannya.

2. Program ini diuruskan oleh pejabat Antarabangsa TNCA yang terletak di pejabat "postgraduate" berdekatan pejabat harta bina dan dikepalai oleh Prof. Madya Dr. Ismail. Segala polisi dan isu-isu berbangkit akan dikendalikan melalui pejabat ini.

3. Peliknya, dari segi kelulusan kewangan pula ia tidak diuruskan oleh pejabat ini. Tetapi diuruskan oleh seorang Penolong Pendaftar di pejabat TNCA yang pada pemerhatian saya bukan dibawah pejabat Global Outreach pun. Pejabat Global Outreach hanya merekod sahaja bilangan yang akan keluar negara.

4. Hal ini menyebabkan selalu berlaku masalah komunikasi dari segi kelulusan kewangan. Contohnya: Pada satu masa pihak Fakulti difahamkan oleh pejabat Global Outreach bahawa mereka diberikan RM100,000 untuk menghantar 100 orang pelajar ke luar negara. Tetapi oleh sebab ramai yang hendak keluar negara peruntukan diturunkan oleh Pejabat TNCA kepada RM80,000.

5. Menurut pejabat Global Outreach dalam seminar dimana saya yang menjadi salah seorang pembentang, setiap siswa akan diberikan RM1000 satu kepala. Namun, penolong pendaftar di pejabat TNCA mengatakan bahawa peruntukan diberi mengikut kadar perbelanjaan iaitu peruntukan akan diberi 1/2 atau RM1000 mana-mana yang lebih rendah.

6. Baru-baru ini, dikhabarkan mahasiswa akan diberi RM300-400 pada tahun 2010 untuk program dalam "asia tenggara" kerana pada tahun lepas ramai yang berjaya ke Indonesia dan Thailand dengan peruntukan RM1000 satu kepala. Pada jangkaan saya pada tahun 2010, menerusi pengalaman yang saya ada, berani saya katakan bahawa jika khabar tersebut terbukti benar, bilangan siswa ke luar negara akan merosot.

7. Malah pada tahun 2009 juga saya tidak yakin seramai 1000 orang berjaya ke luar negara. Apakah dengan pemotongan peruntukan ini akan menyumbang jumlah siswa ke luar negara?

8. Pada pandangan saya ada beberapa cadangan yang boleh diambil kira oleh pejabat Global Outreach :
  • Ubah modus Operandi Pentadbiran dengan mengambil alih tugasan dari segi kelulusan kewangan bagi memudahkan perbincangan dan komunikasi.
  • Letakkan "target" yang jelas kepada setiap fakulti berapa ramai yang disasarkan keluar negara dan beri fakulti kuasa dalam menguruskan peruntukan asalkan tidak menjejaskan sasarannya.(cthnya:memberi peruntukan lebih sedikit kepada program yang memerlukan dan mengurangkan sedikit peruntukan kepada program yang tidak memerlukan.)
  • Potong peruntukan fakulti yang tidak aktif.
9. Oleh kerana saya belum lagi mengetahui polisi yang terbaru pada tahun 2010 ini, maka setakat ini sajalah pandangan saya.

10. Dalam entri yang akan datang, saya akan menceritakan bagaimana mahu memohon peruntukan ini dan masalah-masalah yang timbul secara praktisnya.

No comments:

Post a Comment